Tahukah anda apa maksud bapa ayam?
Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4, bapa ayam membawa maksud
a) ayam jantan;
b) bapa yg tidak mempedulikan anaknya;
c) lelaki yg memperdagangkan pelacur.
Huraian
(a) sememangnya makna langsung. Tiada ibu dan bapa ayam, tiadalah anak ayam.
(b) merupakan makna simpulan bahasa. Pada masa dahulu, seorang lelaki sering merantau dari satu tempat ke tempat yang lain. Di mana sahaja tempat dia menetap, dia akan berkeluarga. Kemudian, merantau lagi dan membina keluarga baru tanpa mengendahkan keluarga yang lalu. Macam ala-ala cerita drama Cinta Madinah (jika sesiapa menontonnya). Lelaki sebeginilah sifatnya ibarat bapa ayam. Namun, untuk meluaskan pengertiannya, seorang bapa yang tidak mengendahkan hal ehwal anaknya juga bolehlah digelar bapa ayam. Kalau kita perhatikan, ayam jantan memang tidak kisahkan anak-anaknya. Ibu ayamlah yang memimpin rombongan anak-anak ayam kecil ke hulu ke hilir.
(c) merupakan makna simpulan bahasa yang sudah diterima pakai sebagai pasangan kepada ibu ayam. Sepatutnya tidak timbul masalah kata ibu untuk perempuan dan kata bapa untuk lelaki. Ibu ayam boleh merujuk kepada perempuan mahupun lelaki yang memperdagangkan pelacur. Penggunaan ibu di sini membawa kepada maksud bahagian utama. Contoh perkataan yang menggunakan kata ibu ialah:
1. ibu negara
2. ibu pejabat
3. ibu jari
4. bahasa ibunda (asal kata ibu)
Jadi, kata ibu boleh membawa maksud
1. orang yang melahirkan kita
2. bahagian terbesar atau terpenting atau utama
3. panggilan hormat kepada perempuan
Sekian, semoga bermanfaat.
3. panggilan hormat kepada perempuan
Sekian, semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan