Ahad, 9 Disember 2012

Teknik Mendorong Pelajar Corot

Saya mendapat tahu teknik ini melalui seorang rakan Cikgu Fazliah dan memuat turun sampel e-book dari --> http://downloadilmu.com/shop/mendorongpelajar/

Setelah mendapat sedikit gambaran dari pembacaan, saya fikirkan teknik ini amat berguna untuk saya aplikasikan ke atas pelajar saya di peringkat Universiti.

Semester ini saya mengajar 4 kumpulan pelajar Diploma Sains semester 2.
Perwatakan pelajar kali ini berlainan berbanding pelajar semester 1 Diploma Sains yang saya kendalikan semester lalu.
Mereka kelihatan lebih "matang".
Beberapa kelompok pelajar sering lewat ke kelas dan berborak-borak dalam kelas.
Pakaian juga tidak menepati kehendak piawaian Universiti.

Namun bagi saya ini suatu cabaran.
Apa yang saya lakukan
1: Memuji kehadiran pelajar walaupun lewat.
2: Mendekati pelajar ketika aktiviti latihan kendiri dan memberi personal instruction jika cara kerja yang mereka lakukan salah
3: Berterima kasih kepada pelajar yang menulis jawapan di papan putih
4: Kurangkan bercakap, banyakkan mendengar.
5: Mendorong pelajar pemalu melontarkan suara.
6: Mengawal pelajar terlalu aktif dengan berhemah.
7: Mengetengahkan pelajar yang 'menyorok'.

Setelah 2 minggu percubaan, saya dapati ada perubahan positif kepada kelompok pelajar-pelajar bermasalah.
Saya merasa puas hati selepas setiap sesi kelas.
Kami banyak bergelak ketawa, namun pengisian tetap dilakukan.

Saya tidak mengharapkan mereka skor tinggi untuk kursus yang saya ajar ini.
Saya mengharapkan kemajuan sikap positif mereka yang dapat membantu kerjaya mereka akan datang.


Khamis, 27 September 2012

Perbaharui pasport atas talian

Pasport saya telah luput beberapa bulan yang lalu.
Hujung tahun ini saya akan ke luar negara.

Semalam, saya cuba perkhidmatan atas talian Jabatan Imigresen Malaysia.
Pergi ke http://www.imi.gov.my/ dan pilih ONLINE SERVICES.
Masukkan nombor pasport dan nombor kad pengenalan.
Maklumat pemohon akan terpapar.
Untuk teruskan permohonan, kita mesti muat naik gambar berukuran pasport yang telah diimbas.
Bahagian muat naik inilah yang paling bermasalah bagi saya.
Sebabnya, apabila telah dimuat naik, gambar saya jadi penyek.
Jadi saya cuba beberapa kali menukar saiz gambar yang dimuat naik agar tidak kelihatan terlalu kurus atau terlalu gemuk (memang gemuk pun :p).
Setelah selesai, hanya teruskan kepada fungsi pembayaran atas talian.
Saya cuba gunakan kad debit maybank, tetapi ditolak sistem.
Kemudian saya cuba pula kad kredit Bank Rakyat.
Barulah boleh.
Saya cetak slip pengesahan.

Pagi tadi saya pergi ke pejabat kutipan di Kuala Kubu Bharu.
Premisnya berhadapan SJK(T) KKB.
Sila bawa bersama slip pengesahan, kad pengenalan dan pasport lama.
Saya ingatkan terus siap dan ambil, rupa-rupanya mesti sahkan dahulu cap jari dan tunggu dalam masa 2 jam untuk siap.
Jadi, kelebihan permohonan atas talian hanyalah tidak perlu isi borang bercetak (buatkan kerja untuk depa kot).
Saya pun keluar berjalan-jalan di luar.
Saya sempat makan cendol di Pasar Awam KKB.
Lepas satu jam, saya cuba bertanya sama ada sudah siap atau belum.
Alhamdulillah, siap!
Senang juga ya perkhidmatan kerajaan sekarang.
Saya mesti pilih :)


Ahad, 16 September 2012

Bertugas di Kuantan

Ini kali ke-2 saya ke Kuantan dalam tahun ini.
Kali ini saya menetap di Citiview Hotel.
Kadar RM157 semalam dengan 3 katil single termasuk sarapan.
Saya menempah untuk 3 malam.
Nilai hebat untuk saya sekeluarga, dua dewasa dan dua anak kecil saya.
Persekitaran hotel ini tidak begitu dinamik dengan parking tidak berbumbung.
Biliknya bersih walaupun kelihatan agak klasik kerana perabot dengan corak kayu lapis.
Sarapan yang disediakan walaupun ringkas tetapi sedap.
Contohnya semalam ada nasi goreng desa, roti canai dengan dalca kambing dan bubur nasi.
7-11 dan beberapa kedai serbanika 24-jam berada dalam lingkungan 5 minit berjalan kaki.
Ada juga beberapa kedai makan Islam di sepanjang jalan berhadapan hotel ini.

Saya juga berkesempatan menikmati ikan bakar petai yang di Restoran Ana Ikan Bakar Tg Lumpur.
Tak jauh dari hotel, 10 minit dengan berkereta. Banyak jalan sehala yang sukar difahami di Kuantan.
Memang ghau-ghau bau dia.

Bagi sesiapa yang ingin membeli keropok leko, keropok kering belum goreng, belacan, telur penyu dan pelbagai produk hasil laut, bolehlah singgah di Jaya Gading berdekatan dengan Pengkalan Tentera Udara.
Terdapat deretan kedai-kedai yang menjual produk-produk ini di sebelah kiri Lebuhraya Kuantan-KL arah KL.
Landmarknya, apabila nampak stesyen minyak Petronas, perlahankanlah kereta untuk membelok ke kiri.

Teluk Chempedak juga tempat menarik untuk dilawati.
Saya sungguh gembira kerana kebersihan amat terjaga di kawasan pantai ini.
Inilah satu-satunya pantai yang paling bersih dan dilengkapi pelbagai fasiliti yang pernah saya lawati di Malaysia.
Hati-hati dengan kera-kera liar yang hanya menunggu peluang merampas apa jua makanan yang anda bawa.
Terdapat McD, KFC dan medan selera di dataran mengadap ke laut.

InsyaAllah akan datang lagi bulan depan kerana ada tugas yang belum diselesaikan lagi.

Sabtu, 21 Julai 2012

Persidangan / Seminar / Kursus di Jepun

Akhir-akhir ini saya kerap ditanya berkenaan prosedur ke Jepun untuk tujuan persidangan, seminar, kursus dan apa jua yang berkaitan latihan.

Untuk apa jua aktiviti termasuklah melancong atau melawat anak bagi rakyat Malaysia ke Jepun memerlukan visa.

Visa ini pula ada pelbagai jenis bergantung kepada tujuan anda.

Untuk tujuan perniagaan/ seminar/ persidangan dan setara boleh rujuk pautan berikut --> http://www.my.emb-japan.go.jp/English/visit.html#A

Syarat berubah dari masa ke sama, dulu lain sekarang lain, jadi usahlah samakan prosedur dulu dan sekarang.

Saya ada maklumat tambahan yang mungkin relevan tentang permohonan visa bagi tujuan di atas pada masa entri ditulis:
1)  Permohonan tidak memerlukan confirmed flight ticket. Cukup hanya menulis borang itinerary yang lengkap, dari mula anda mendarat hingga berlepas pulang. Jadi bolehlah mohon visa dahulu baru beli tiket.
2) Permohonan mengikut kawasan. Jika alamat kediaman anda di zon utara, permohonan ialah di konsulat Jepun Pulau Pinang. Permohonan anda mungkin ditolak sekiranya anda memohono di pejabat konsulat yang bukan dari zon anda.

Please check your nearest office. Application has to be submitted to the office which covers your current residential area
(Not a passport issued area)

Embassy of Japan in Malaysia (Kuala Lumpur)
Cover Area: Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Malacca, Pahang
Consulate-General of Japan (Penang)
Cover Area: Penang, Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, Trengganu
Consular Office of Japan (Kota Kinabalu)
Cover Area: Sabah, Sarawak, Labuan
Consular Office of Japan (Johor Bahru)
Cover Area: Johor
 3) Wakil boleh memohon bagi pihak anda. Contohnya kawan, saudara mara atau ejen dengan syarat semua dokumen telah tersedia.
4) Visa siap dalam masa 3 hari, contoh hantar Isnin siap Rabu.
5) Bagi yang bekerja, sertakan surat pengesahan bekerja dari majikan.
6) Bagi menyokong financial statement, anda boleh buat gabungan salinan penyata ASB, TH atau sebarang saham, lalu disahkan oleh institusi yang mengeluarkan penyata tersebut. Sekurang-kurangnya jumlah RM10,000 mesti dibuktikan adalah dalam pegangan simpanan anda.
7) Dapatkan dan lampirkan surat pelawaan rasmi dari pihak atau penganjur di Jepun.
8) Ambil perhatian bahawa latihan atau kursus melebihi 90 hari memerlukan permohonan Certificate of Eligibility (COE) yang diuruskan oleh pihak penganjur. Namun terdapat juga jenis latihan/kursus yang memerlukan anda memohon COE menggantikan visa.
9) Apa jua kes anda, jika ada persoalan silalah berhubung kepada pejabat konsulat/kedutaan zon anda. insyaAllah mereka sedia membantu.

おたのしみ! 
Pautan berkaitan --> http://kadoridesuyo.blogspot.com/2011/01/prosedur-ke-jepun.html

Sabtu, 7 Julai 2012

Bapa Ayam

 
Tahukah anda apa maksud bapa ayam?



Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4, bapa ayam membawa maksud

a) ayam jantan;

b) bapa yg tidak mempedulikan anaknya;

c) lelaki yg memperdagangkan pelacur.


Huraian

(a) sememangnya makna langsung. Tiada ibu dan bapa ayam, tiadalah anak ayam.


(b) merupakan makna simpulan bahasa. Pada masa dahulu, seorang lelaki sering merantau dari satu tempat ke tempat yang lain. Di mana sahaja tempat dia menetap, dia akan berkeluarga. Kemudian, merantau lagi dan membina keluarga baru tanpa mengendahkan keluarga yang lalu. Macam ala-ala cerita drama Cinta Madinah (jika sesiapa menontonnya). Lelaki sebeginilah sifatnya ibarat bapa ayam. Namun, untuk meluaskan pengertiannya, seorang bapa yang tidak mengendahkan hal ehwal anaknya juga bolehlah digelar bapa ayam. Kalau kita perhatikan, ayam jantan memang tidak kisahkan anak-anaknya. Ibu ayamlah yang memimpin rombongan anak-anak ayam kecil ke hulu ke hilir.


(c) merupakan makna simpulan bahasa yang sudah diterima pakai sebagai pasangan kepada ibu ayam. Sepatutnya tidak timbul masalah kata ibu untuk perempuan dan kata bapa untuk lelaki. Ibu ayam boleh merujuk kepada perempuan mahupun lelaki yang memperdagangkan pelacur. Penggunaan ibu di sini membawa kepada maksud bahagian utama. Contoh perkataan yang menggunakan kata ibu ialah:


1. ibu negara

2. ibu pejabat

3. ibu jari

4. bahasa ibunda (asal kata ibu)


Jadi, kata ibu boleh membawa maksud

1. orang yang melahirkan kita

2. bahagian terbesar atau terpenting atau utama
3. panggilan hormat kepada perempuan

Sekian, semoga bermanfaat.

Khamis, 7 Jun 2012

Salah tanggap kerjaya Pensyarah Universiti (PU)


Salah tanggap yang biasa terhadap Pensyarah Universiti (khususnya IPTA)

1) Bila pelajar cuti semester, PU pun cuti sama.
PU diperuntukkan cuti rehat 30 hari dalam setahun (bergantung kepada Gred Jawatan).
Jika pelajar bercuti, PU tidak cuti secara automatik.
PU mesti memohon cuti dan ditolak dari cuti rehat yang diperuntukkan.
Kalau permohonan tidak diluluskan, maka kenalah kerja seperti biasa.

2) PU kerja 8 pagi hingga 5 petang sahaja.
Sebenarnya PU tiada waktu kerja yang tetap.
PU bertugas 24 jam sehari, 7 hari seminggu atas arahan.
Tiada elaun kerja lebih masa untuk PU.
Melainkan atas pertimbangan Ketua Jabatan, barulah PU mendapat cuti gantian atau elaun khas jika bertugas di luar waktu normal pejabat.

3) Tugas PU hanya mengajar sahaja.
PU tidak hanya mengajar.
Terdapat tugas 6P yang wajib dilakukan iaitu
1- Pengajaran
2- Penyelidikan
3- Perundingan
4- Perkhidmatan kepada Masyarakat
5- Pentadbiran
6- Penulisan & Penerbitan
Semasa pelajar bercuti semester, PU mengambil kesempatan yang terhad untuk menjalankan penyelidikan atau penerbitan.
Kebiasaannya tugas pentadbiran mengambil masa PU yang sangat banyak namun paling kurang diambil kira dalam markah prestasi tahunan.
Manakala komponen penyelidikan dan penerbitan paling diutamakan dalam penilaian prestasi dengan waktu yang sangat terhad untuk diperuntukkan kerana memerlukan ketelitian dan waktu bertenang untuk melakukannya.
Terdapat khidmat PU yang sangat diperlukan seperti sebagai penasihat sektor industri dan kerajaan.
Sebagai contoh PU bidang nuklear dilantik sebagai penasihat projek Lynas di Kuantan.


4) PU suka membuat tuntutan perjalanan.
PU bukan sahaja duduk di kerusi pejabat.
Banyak tugas yang memerlukan PU bergerak di luar Universiti.
Oleh itu, PU membuat tuntutan perjalanan yang sewajarnya untuk menampung kos pengangkutan dan penginapan yang selayaknya.


5) Untuk menjadi PU, seseorang itu mesti mempunyai Sarjana Pendidikan atau PhD Pendidikan
Anggapan ini hanya benar jika anda ingin menjadi Pensyarah Bidang Pendidikan.
Untuk Pensyarah Kejuruteraan Kimia contohnya, mestilah memiliki Sarjana Muda, Sarjana dan Phd (atau pengalaman bekerja setara) dalam bidang Kejuruteraan Kimia juga.
Sepanjang bekerja, PU akan dilatih dari semasa ke semasa kaedah pengajaran dan pendidikan terkini untuk diamalkan di IPTA melalui kursus dan bengkel khusus.

6) Gaji PU besar.
Besar atau kecilnya gaji adalah relatif bagi setiap individu.
Sebagai ketelusan fakta, saya nyatakan gaji permulaan asas bagi PU
(Boleh rujuk pekeliling JPA ini untuk pengesahan fakta)
Gred 45      RM2,877.04  Pensyarah Universiti - biasanya berkelayakan Sarjana
Gred 51/52 RM5,168.02  Pensyarah Kanan - biasanya berkelayakan PhD
Gred 53/54 RM5,471.49  Profesor Madya
Disebalik 'besar'nya gaji PU, terdapat 'hutang dan kontrak' pendidikan yang ditanggung, ada yang mencecah setengah juta ringgit.
Kenaikan gred PU juga tidak berdasarkan masa (time-based), tetapi kepada prestasi yang dipamerkan (performance-based)
Bermohonlah pada ALLAH agar dilapangkan rezeki dan dicukupkan apa yang kurang dalam kehidupan.

*p/s: rakan-rakan yang ada pembetulan dan penambahan harap boleh komen.

Rabu, 16 Mei 2012

16 Mei

16 Mei ialah tarikh sambutan Hari Guru di Malaysia.
Ummi juga dilahirkan pada 16 Mei. Selamat Hari Lahir Ummi, muah! muah!

Seingat saya, guru yang memberi impak ke atas saya ialah Cikgu Fauziah Hanim.
Beliau mengajar saya Matematik Tingkatan 3 dan Biologi Tingkatan 4 & 5.
Kerana beliaulah saya memilih untuk mengambil subjek Biologi di peringkat Menengah Atas walhal sejak di Tingkatan 1 lagi bertekad untuk mengambil Prinsip Akaun.
Dan yang paling menarik, saya berjaya menjadi pelajar pertama di sekolah yang mendapat A1 untuk subjek Biologi, hadiah teristimewa untuk beliau ^_^/
Bagi saya beliau sungguh berdedikasi dan garang, sehingga beliau menjadi Warden di Asrama Lelaki!
Tetapi kegarangan beliaulah yang mencuit hati saya.
Entah kenapa jika beliau marah, saya akan berasa lucu.
Beliau sangat unik.

Apapun, sememangnya seorang guru dapat mengubah haluan seorang pelajar.
Samada menjadi lebih baik, atau lebih buruk, atau tiada perubahan langsung.

Berkhidmat di salah satu institusi pendidikan negara memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai kelakuan guru, bakal guru dan bekas guru.
Ada yang sangat komited, ibarat lilin membakar diri.
Ada yang sekadar inginkan kelulusan, ibarat lilin membakar orang lain.
Apapun,
SELAMAT HARI GURU
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


Ahad, 15 April 2012

Setahun berlalu

Hari ini 15 April 2012, genap setahun kami sekeluarga meninggalkan Jepun.
Terasa masa berlalu sungguh pantas.
Mungkin rutin harian terlalu sibuk sehingga masa yang berlalu tidak disedari.

Iman NY sudah 3 thn 4 bulan.
Tetapi belum pandai buang air besar sendiri.
Buang air kecil sudah OK.
Tahun ini dia masuk taska 4 tahun di Permata Negara UPSI.
Banyak juga yang dipelajari.
Hari-hari menyanyi, menyanyi dan menyanyi.
Si adik Hiro pula goyang-goyang badan dengar si kakak menyanyi.

Hiro pula sudah 9 bulan.
Perjalanan membawa dia ke dunia memang penuh cabaran.
Ummi mengandung tatkala Abi sedang sibuk menyiapkan tesis dan viva PhD.
Sedang mengandung Ummi pula mengidap batuk kokol, batuk berterusan selama 3 bulan.
Sebulan sebelum tamat pengajian, Jepun dilanda tsunami.
Sapporo juga menerima tempias yang hebat.
Kami semua berada dalam kepanikan dan kerisauan yang amat sangat ketika itu.
Kami pulang menaiki pesawat ketika kandungan berusia 8 bulan.

Di Malaysia cuaca panas terik berbanding Sapporo yang belum pun cair saljinya.
Masing-masing dalam keadaan baran ditambah pula kejutan budaya di tanahair sendiri.
Hiro dilahirkan dengan patah di bahu menambahkan kerisauan dihati.
Sekarang patahnya sudah sembuh dan Hiro sudah boleh berjalan di usia 9 bulan, sebulan lebih awal dari kakaknya.
Ini menangkis andaian ramai bahawa bayi yang duduk dalam 'walker' akan berjalan lambat.

Tuntutan kerja semakin bertambah.
Terasa diri seakan tua, tugasan yang dilakukan terasa lambat disiapkan.
Pembahagian masa harian mesti bijak.
Terima kasih Ummi yang banyak membantu urusan keluarga. 愛してる。

Semoga kami sekeluarga dapat menempuhi tahun-tahun mendatang dengan tabah dan ceria.

Jumaat, 16 Mac 2012

minyak dan air boleh bercampur?

Soalan mudah, kalau kita masukkan minyak dalam air, apa yang akan berlaku?

Jawapan yang mungkin, minyak akan terapung di atas permukaan air kerana ia kurang tumpat.
Daya apunganlah yang menyebabkan ia terapung.
Mengikut prinsip archimedes, daya apungan berkadar dengan berat cecair yang tersesar iaitu sama dengan berat bahagian minyak yang tenggelam.

TETAPI itu di bumi, kalau di angkasa, graviti hampir sifar.
Ini bermakna tiada berat? Maka tiada daya apungan?
Jadi apa yang berlaku kalau kita masukkan minyak dalam air?

Jawapannya--->

Ahad, 29 Januari 2012

5 Langkah Mudah Untuk Gembira


Bebaskan hati dari rasa benci.
Bebaskan fikiran dari kerisauan.
Hidup sederhana.
Banyak memberi.
Kurang berharap.



:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...