Bahasa Melayu bukan punca daya saing kita merudumTeo Kok Seongbhrencana@bh.com.my 2013/10/31 Kemahiran berfikir antara jalan penyelesaian pertingkat mutu pendidikan Kenyataan bahawa daya saing kita di persada antarabangsa dalam bidang pendidikan menjunam selepas kita bertukar kepada sistem yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada 1970 adalah tidak tepat selain bersifat tidak bertanggungjawab. Malangnya, sekali lagi ia terbit daripada mulut kaum Melayu sendiri yang juga penutur jati bahasa Melayu. Ia semacam menuding jari kepada bahasa Melayu sebagai penyebab utama. Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan merudum itu wujud, tetapi ia tidak sekali-kali ada kaitan dengan penggunaan bahasa Melayu secara dominan dalam sistem pendidikan negara. Bahasa adalah alat untuk menyampaikan fikiran. Inilah peranan asasnya. Sehubungan itu, semua bahasa dianggap sama, yakni mampu menyatakan hasrat di hati penutur jatinya. Semua bahasa dianugerahkan Tuhan dengan kecekapan ekspresif walaupun dalam bentuk berlainan. Walaupun begitu, bagi tujuan pendidikan, bahasa berkenaan perlu melalui proses untuk mewujudkan ragam baku yang akan digunakan untuk pelbagai hal rasmi dan formal. Dalam hal ini, bahasa Melayu memang sudah lama memiliki ragam bakunya. Bahasa moden Sebenarnya dengan adanya ragam baku dan juga korpus yang sempurna dibina, bahasa Melayu adalah bahasa moden. Sebagai bahasa moden, ia mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak dalam semua bidang ilmu. Oleh itu, daya saing yang merudum itu bukan sekali-kali angkara bahasa Melayu. Bahasa Melayu dengan taraf bahasa modennya memang mampu memandaikan anak bangsa kita dalam semua jurusan ilmu. Keadaan anak bangsa kita yang kurang cekap ini, khususnya dalam sistem antarabangsa, tidak patut dikaitkan dengan bahasa Melayu yang digunakan. Beberapa negara lain yang menggunakan bahasa negara sendiri, antaranya Korea dan Jepun, tidak pun kekurangan daya saing mereka dalam beberapa penilaian prestasi antarabangsa. Susutnya daya saing kita disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebenarnya segala kelemahan yang menyebabkan keadaan susut itu sudah pun dikenal pasti. Ia akan ditangani dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Antara yang terpenting ialah kemahiran berfikir, lebih-lebih lagi pada aras tinggi. Ia bukan aspirasi dalam sistem lama. Kini melalui PPPM, kemahiran ini bukan saja diberi penekanan istimewa, ia dijadikan satu daripada enam ciri yang perlu ada pada anak bangsa kita selepas melalui sistem baharu ini. Dengan adanya ciri ini, pelajar kita akan diajar untuk menaakul dengan logik bagi menerbitkan gagasan bernas. Untuk ini, mereka akan diajar untuk berfikir dalam bentuk mencantumkan semua pendapat mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini adalah untuk mencapai matlamat akhir dalam kemahiran berfikir, iaitu mempunyai pandangan sendiri mengenai sesuatu perkara. Dengan cara begini melalui PPPM, pelajar kita pasti dapat memperlihat aspek penerapan ilmu yang dipelajari dalam kelas dan di luar kelas. Inilah yang dicari dalam penilaian antarabangsa itu. Latih berfikir secara kreatif Dengan adanya penekanan berfikir begini, daya saing pelajar kita dalam bidang pendidikan pada peringkat global, pasti akan meningkat tidak lama lagi. Pelajar kita bukan saja memiliki ciri yang diuji itu. Mereka juga cekap di dalamnya selepas dilatih sedemikian. Selain ini, faktor guru juga penting. Kini melalui PPPM, syarat pengambilan diperketat. Pendidik dalam sistem baharu akan diambil daripada kalangan graduan yang berada pada tahap tiga puluh peratus teratas. Ini bermakna guru kita akan terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan akademik tinggi. Begitu juga halnya dengan kepemimpinan sekolah. Hanya yang memperlihat prestasi kerja tinggi dipilih sebagai guru besar dan pengetua. Kepemimpinan yang baik ini didapati akan ikut memacu prestasi sekolah. Sesungguhnya pelbagai faktor terbabit dalam hal mutu pendidikan. Oleh itu, PPPM mempunyai sebelas anjakan, lima aspirasi sistem dan enam ciri pelajar untuk memastikan mutu pendidikan kita bukan saja senantiasa tinggi tetapi memiliki daya saing global yang kompetitif. Bahasa bukan antara pelbagai faktor ini. Oleh itu, salah kalau bahasa Melayu dianggap sebagai antara faktornya, apatah lagi faktor tunggal yang menyebabkan daya saing global kita merudum. Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia |
Hak Cipta Terpelihara Berita Harian 2012 Emel kami untuk sebarang maklum balas.