Rabu, 12 Februari 2025

Pajak Emas GAP Ar-Rahnu

Aku adalah simpan sikit-sikit dalam Gold Accumulation Program (GAP) di bawah Public Gold.

Pernahlah juga tukar simpanan ke bentuk fizikal, ok sudah ada pengalaman.

Pajak bar emas PG di Ar-rahnu Xchange pun sudah pernah.

Tapi pengalaman pajak GAP tak pernah.

Mahulah cuba supaya kalau betul-betul memerlukan, taklah kelam kabut.

Isnin pagi aku masuk ke portal GAP.

Muat naik kad pengenalan dan penyata bank.

Setelah dapat nombor TAC melalui Whatsapp, terus submit.

Takut-takut juga lesap emasnya.

Aku cuba pajak 10 gram.

Harga semasa RM444/gram, jadi jumlah RM4,440.00.

70% daripada nilai ialah RM3,108.00.

Upah simpan RM45 sebulan, tak tahu kadarnya macam mana dikira.

Tempoh pajak 6 bulan, maknanya selagi tak tebus, upah simpan akan bertambah ikut bulan.

Penyatanya seperti snapshot.

Kalau ikut panduan, proses ambil masa 2 hari bekerja.

Jadi, mari kita tunggu.


Esoknya, 11 Feb pagi sudah masuk duitnya dalam akaun Maybank aku, padahal 11 Feb tu cuti Thaipusam.
Hui laju!

Maknanya berbanding pajak fizikal yang kena ambil masa ke premis dan tunggu lagi untuk penilaian, pajak GAP ini macam menarik.

Tapi kena bandingkan upah simpan juga.
Tak mengapa, bila diperlukan, ada pilihan.

Kalau rajin aku tulis pula cara nak tebus balik.

Rabu, 15 Januari 2025

Ingat Nama Pelajar

Semester ini aku kendalikan dua kumpulan pelajar.

Kursus Mathematics for Physics.

Kumpulan A 45 orang, Kumpulan B 43.

Ramai wooi..mana nak ajar, nak kenal.

Peluang berinteraksi dengan setiap individu amat terhad dengan pertemuan kurang 3 jam seminggu selama 14 minggu.

Nak mengajar lagi.

Aku guna kaedah tradisional.

Setiap pelajar tulis nama pada kertas, letak depan masing-masing.

Lepas kelas, dikumpul di suatu tempat.

Kelas berikutnya, ambil tag masing-masing.

Minggu ke-14, dapatlah aku ingat >50% nama pelajar.

Bolehlah..

Majoritinya lelaki yang dapat aku kenal.

Yang perempuan agak payah diingati.

Yang diingati ialah yang aktif, berwatakan luar biasa ^^ atau ciri berbeza.

Aku percaya, pelajar akan lebih rasa dihargai jika nama mereka diketahui.

Kehadiran disedari.

Maaflah, yang tak dapat aku ingat nama.

Aku terima hakikat, otak ini tak boleh ingat banyak.

Memori penuh.

Sekurang-kurangnya aku cuba.


Selasa, 7 Januari 2025

Kuliah

Hari ni aku bagi kuliah dalam kelas tentang stastitik deskriptif.

Satu kumpulan pagi, satu kumpulan petang.

Baru lima minit masing-masing dah macam tak senang duduk.

Jika mereka kelihatan fokus pun, adakah benar-benar fokus tetapi minda melayang.

Adakah aku bagi kuliah bosan?

Aku dah kurang bagi kuliah sejak beberapa tahun ini.

Aku buat video beserta lembaran kerja.

Sebab aku berpendapat memberi kuliah ialah aktiviti rutin.

Dalam kelas sepatutnya aktiviti perbincangan atau kerja tangan.

Bukan aktiviti penyampaian, tetapi peneguhan dan pengayaan.

Kalau dulu ilmu itu pada pensyarah.

Tak datang kelas akan lompang ilmu.

Zaman kini ilmu itu banyak sudah dirakam dalam pelbagai bentuk.

Tak datang kelas pun boleh dapatkan ilmu.

Cuma kefahaman dan kemahiran yang sepatutnya disemai dalam kelas, itu tugas pendidik.

Kesimpulannya, hentikan kuliah ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...