Khamis, 7 Jun 2012

Salah tanggap kerjaya Pensyarah Universiti (PU)


Salah tanggap yang biasa terhadap Pensyarah Universiti (khususnya IPTA)

1) Bila pelajar cuti semester, PU pun cuti sama.
PU diperuntukkan cuti rehat 30 hari dalam setahun (bergantung kepada Gred Jawatan).
Jika pelajar bercuti, PU tidak cuti secara automatik.
PU mesti memohon cuti dan ditolak dari cuti rehat yang diperuntukkan.
Kalau permohonan tidak diluluskan, maka kenalah kerja seperti biasa.

2) PU kerja 8 pagi hingga 5 petang sahaja.
Sebenarnya PU tiada waktu kerja yang tetap.
PU bertugas 24 jam sehari, 7 hari seminggu atas arahan.
Tiada elaun kerja lebih masa untuk PU.
Melainkan atas pertimbangan Ketua Jabatan, barulah PU mendapat cuti gantian atau elaun khas jika bertugas di luar waktu normal pejabat.

3) Tugas PU hanya mengajar sahaja.
PU tidak hanya mengajar.
Terdapat tugas 6P yang wajib dilakukan iaitu
1- Pengajaran
2- Penyelidikan
3- Perundingan
4- Perkhidmatan kepada Masyarakat
5- Pentadbiran
6- Penulisan & Penerbitan
Semasa pelajar bercuti semester, PU mengambil kesempatan yang terhad untuk menjalankan penyelidikan atau penerbitan.
Kebiasaannya tugas pentadbiran mengambil masa PU yang sangat banyak namun paling kurang diambil kira dalam markah prestasi tahunan.
Manakala komponen penyelidikan dan penerbitan paling diutamakan dalam penilaian prestasi dengan waktu yang sangat terhad untuk diperuntukkan kerana memerlukan ketelitian dan waktu bertenang untuk melakukannya.
Terdapat khidmat PU yang sangat diperlukan seperti sebagai penasihat sektor industri dan kerajaan.
Sebagai contoh PU bidang nuklear dilantik sebagai penasihat projek Lynas di Kuantan.


4) PU suka membuat tuntutan perjalanan.
PU bukan sahaja duduk di kerusi pejabat.
Banyak tugas yang memerlukan PU bergerak di luar Universiti.
Oleh itu, PU membuat tuntutan perjalanan yang sewajarnya untuk menampung kos pengangkutan dan penginapan yang selayaknya.


5) Untuk menjadi PU, seseorang itu mesti mempunyai Sarjana Pendidikan atau PhD Pendidikan
Anggapan ini hanya benar jika anda ingin menjadi Pensyarah Bidang Pendidikan.
Untuk Pensyarah Kejuruteraan Kimia contohnya, mestilah memiliki Sarjana Muda, Sarjana dan Phd (atau pengalaman bekerja setara) dalam bidang Kejuruteraan Kimia juga.
Sepanjang bekerja, PU akan dilatih dari semasa ke semasa kaedah pengajaran dan pendidikan terkini untuk diamalkan di IPTA melalui kursus dan bengkel khusus.

6) Gaji PU besar.
Besar atau kecilnya gaji adalah relatif bagi setiap individu.
Sebagai ketelusan fakta, saya nyatakan gaji permulaan asas bagi PU
(Boleh rujuk pekeliling JPA ini untuk pengesahan fakta)
Gred 45      RM2,877.04  Pensyarah Universiti - biasanya berkelayakan Sarjana
Gred 51/52 RM5,168.02  Pensyarah Kanan - biasanya berkelayakan PhD
Gred 53/54 RM5,471.49  Profesor Madya
Disebalik 'besar'nya gaji PU, terdapat 'hutang dan kontrak' pendidikan yang ditanggung, ada yang mencecah setengah juta ringgit.
Kenaikan gred PU juga tidak berdasarkan masa (time-based), tetapi kepada prestasi yang dipamerkan (performance-based)
Bermohonlah pada ALLAH agar dilapangkan rezeki dan dicukupkan apa yang kurang dalam kehidupan.

*p/s: rakan-rakan yang ada pembetulan dan penambahan harap boleh komen.

Rabu, 16 Mei 2012

16 Mei

16 Mei ialah tarikh sambutan Hari Guru di Malaysia.
Ummi juga dilahirkan pada 16 Mei. Selamat Hari Lahir Ummi, muah! muah!

Seingat saya, guru yang memberi impak ke atas saya ialah Cikgu Fauziah Hanim.
Beliau mengajar saya Matematik Tingkatan 3 dan Biologi Tingkatan 4 & 5.
Kerana beliaulah saya memilih untuk mengambil subjek Biologi di peringkat Menengah Atas walhal sejak di Tingkatan 1 lagi bertekad untuk mengambil Prinsip Akaun.
Dan yang paling menarik, saya berjaya menjadi pelajar pertama di sekolah yang mendapat A1 untuk subjek Biologi, hadiah teristimewa untuk beliau ^_^/
Bagi saya beliau sungguh berdedikasi dan garang, sehingga beliau menjadi Warden di Asrama Lelaki!
Tetapi kegarangan beliaulah yang mencuit hati saya.
Entah kenapa jika beliau marah, saya akan berasa lucu.
Beliau sangat unik.

Apapun, sememangnya seorang guru dapat mengubah haluan seorang pelajar.
Samada menjadi lebih baik, atau lebih buruk, atau tiada perubahan langsung.

Berkhidmat di salah satu institusi pendidikan negara memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai kelakuan guru, bakal guru dan bekas guru.
Ada yang sangat komited, ibarat lilin membakar diri.
Ada yang sekadar inginkan kelulusan, ibarat lilin membakar orang lain.
Apapun,
SELAMAT HARI GURU
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


Ahad, 15 April 2012

Setahun berlalu

Hari ini 15 April 2012, genap setahun kami sekeluarga meninggalkan Jepun.
Terasa masa berlalu sungguh pantas.
Mungkin rutin harian terlalu sibuk sehingga masa yang berlalu tidak disedari.

Iman NY sudah 3 thn 4 bulan.
Tetapi belum pandai buang air besar sendiri.
Buang air kecil sudah OK.
Tahun ini dia masuk taska 4 tahun di Permata Negara UPSI.
Banyak juga yang dipelajari.
Hari-hari menyanyi, menyanyi dan menyanyi.
Si adik Hiro pula goyang-goyang badan dengar si kakak menyanyi.

Hiro pula sudah 9 bulan.
Perjalanan membawa dia ke dunia memang penuh cabaran.
Ummi mengandung tatkala Abi sedang sibuk menyiapkan tesis dan viva PhD.
Sedang mengandung Ummi pula mengidap batuk kokol, batuk berterusan selama 3 bulan.
Sebulan sebelum tamat pengajian, Jepun dilanda tsunami.
Sapporo juga menerima tempias yang hebat.
Kami semua berada dalam kepanikan dan kerisauan yang amat sangat ketika itu.
Kami pulang menaiki pesawat ketika kandungan berusia 8 bulan.

Di Malaysia cuaca panas terik berbanding Sapporo yang belum pun cair saljinya.
Masing-masing dalam keadaan baran ditambah pula kejutan budaya di tanahair sendiri.
Hiro dilahirkan dengan patah di bahu menambahkan kerisauan dihati.
Sekarang patahnya sudah sembuh dan Hiro sudah boleh berjalan di usia 9 bulan, sebulan lebih awal dari kakaknya.
Ini menangkis andaian ramai bahawa bayi yang duduk dalam 'walker' akan berjalan lambat.

Tuntutan kerja semakin bertambah.
Terasa diri seakan tua, tugasan yang dilakukan terasa lambat disiapkan.
Pembahagian masa harian mesti bijak.
Terima kasih Ummi yang banyak membantu urusan keluarga. 愛してる。

Semoga kami sekeluarga dapat menempuhi tahun-tahun mendatang dengan tabah dan ceria.

Jumaat, 16 Mac 2012

minyak dan air boleh bercampur?

Soalan mudah, kalau kita masukkan minyak dalam air, apa yang akan berlaku?

Jawapan yang mungkin, minyak akan terapung di atas permukaan air kerana ia kurang tumpat.
Daya apunganlah yang menyebabkan ia terapung.
Mengikut prinsip archimedes, daya apungan berkadar dengan berat cecair yang tersesar iaitu sama dengan berat bahagian minyak yang tenggelam.

TETAPI itu di bumi, kalau di angkasa, graviti hampir sifar.
Ini bermakna tiada berat? Maka tiada daya apungan?
Jadi apa yang berlaku kalau kita masukkan minyak dalam air?

Jawapannya--->

Ahad, 29 Januari 2012

5 Langkah Mudah Untuk Gembira


Bebaskan hati dari rasa benci.
Bebaskan fikiran dari kerisauan.
Hidup sederhana.
Banyak memberi.
Kurang berharap.



:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...