Tandas adalah satu elemen penting dalam kehidupan seharian. Paling tidak, sekali sehari kita semua akan menggunakannya.
Antara perkara yang saya sukai mengenai Jepun ialah tandas elektronik. Saya sangat kagum dengan ciptaan ini. Saya juga telah pasang satu tandas elektronik yang paling murah di pasaran Jepun di rumah dan saya sangat berpuas hati dengannya.
Tahukah anda bentuk dan penggunaan tandas Jepun berbeza sedikit dengan Malaysia. Saya dah lama hendak berkongsi maklumat mengenai tandas Jepun ini.
Di mana-mana, samada pasaraya, komplek membeli belah, pejabat, terdapat dua jenis tandas yang disediakan iaitu jenis Oriental (和式-washiki) dan jenis Barat (洋式-youshiki). Kemudahan ini disediakan samada salah satu, atau kedua-duanya sekali dalam bilik air.
Umumnya kedua-dua jenis ini adalah tandas kering, bermakna mereka menggunakan tisu tandas. Jadi jangan lupa bawa sebotol air kecil jika masuk ke tandas :) kerana tiada kepala paip di dalam tandas
Mari kita lihat satu persatu ciri-cirinya.
1) Oriental (和式-washiki)
Berikut merupakan jenis oriental yang biasa dilihat di rumah-rumah lama, atau kompleks lama. Perhatikan ada sedikit bahagian menonjol di atas lubang tandas. Tahukah anda bagaimana menggunakannya?
Saya pasti mengikut kebiasaan orang Malaysia, bahagian menonjol tersebut pastinya adalah bahagian belakang atau bahagian punggung. Namun begitu ianya salah.
Berikut adalah cara menggunakan tandas jenis Oriental.
Bagi kaum lelaki, jika anda terkencing semasa berhajat, maka bahagian tandas menonjol ini akan mengelakkan anda terpancut keluar dari landasan. Maka persekitaran tandas akan sentiasa kering.
Perhatikan juga paip air di tepi tandas. Ia berfungsi sebagai pemegang sekiranya anda perlukannya ketika meneran.
2) Barat (洋式-youshiki)
Berikut pula merupakan jenis Barat. Pastinya tidak asing bagi kita.
Namun ada sedikit kelainan dimana penutup tandas ada sedikit bahagian lopong berbentuk U.
Ini juga mengelakkan daripada air kencing mengotori bahagian tersebut.
Terdapat juga saluran paip kecil di atas pam tandas. Selepas tangki air kosong selepas dipam, air akan masuk semula melalui paip ini dan jatuh kedalam tangki air melalui lubang kecil di atas tangki. Jadi sebagai langkah penjimatan air, air yang keluar dari paip ini digunakan untuk mencuci tangan. Maka tiada kepala paip air tambahan disebelah tandas dan tandas akan sentiasa kering.
Dengan kemajuan teknologi Jepun, bangunan-bangunan baru mula menggunakan tandas elektronik. Berikut merupakan tandas elektronik yang mungkin anda akan temui jika berada di Jepun. Umumnya terdapat panel kawalan di sebelah kanan dengan pelbagai butang.
Panel kawalan adalah seperti berikut.
SHOWER untuk pancutan air ke punggung dan tekanan pancutan air boleh dikawal dengan melaraskan SPRAY STRENGTH. Untuk menghentikan pancutan, tekan butang STOP. Tandas ini juga mempunyai penderia (sensor) dimana sekiranya anda tidak duduk di atasnya, panel tidak akan berfungsi. Jadi jangan risau kerana pancuran air tidak akan berlaku ketika anda sibuk memakai semula seluar.
BIDET digunakan khas untuk kaum wanita.
Fungsi panel diatas adalah yang paling asas. Terdapat juga variasi fungsi tambahan seperti
1) tekanan pancuran air berirama.
2) kawalan suhu air pancuran
3) hembusan angin suam dari bawah untuk mengeringkan punggung selepas pancuran
4) penutup tandas autmatik, dimana sekiranya pengguna datang ia terbuka sendiri dan tertutup sendiri sekiranya pengguna meninggalkannya
4) semburan pewangi automatik selepas penggunaan
dan sebagainya. Sudah tentulah harganya lebih mahal untuk yang lebih canggih.
Saya sendiri memasang satu di rumah yang dengan fungsi paling asas dengan harga JPY20,000 iaitu lebih kurang RM700. Pastinya saya akan bawa pulang satu yang baru untuk dipasang di rumah Malaysia nanti.
Penggunaan tandas ini terpulang ke pada anda. Mungkin anda mahu mencangkung di atas tandas jenis Barat. Atau mencangkung berlawanan arah ketika menggunakan tandas jenis Oriental. Tiada siapa yang tahu bagaimana anda menggunakan tandas selepas pintu ditutup :)
Menariknya, terdapat siri animasi pendek yang popular di Jepun iaitu Shimajiro yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak mengenai penggunaan tandas dan menghargai fungsi tandas.
--> http://youtu.be/g6eu6nJKEbA
sambungan bahagian 2
1 ulasan:
tuan msh tinggal di jepun ke?
Catat Ulasan