Jumaat, 16 April 2010

Kompas Arah Kiblat

Kompas Klasik
Menentukan arah kiblat yang tepat merupakan elemen yang penting dalam menunaikan sembahyang bagi umat Islam. Saya masih ingat lagi kompas kiblat pertama saya beli di Plaza Angsana, Johor Bahru pada tahun 2000 dengan harga RM25. Bentuknya lebih kurang seperti di bawah ini (gambar di ambil dari sumber internet).

Kompas ini disertakan dengan buku panduan kecil di mana nombor bagi lokasi tertentu diberikan. Sebagai contoh katalah kita berada di Kuala Lumpur dan nombor lokasinya "22". Maka kompas dipusingkan/dilaraskan sehingga jarum hijau betul-betul berada di atas tanda "22". Arah kiblat ditunjukkan oleh anak panah. Biasanya kawan-kawan akan pinjam sekiranya mereka pindah ke rumah sewa baru, atau bertukar bilik di kolej. Seingat saya kompas yang kini berada di rumah saya adalah kompas ke-3 setelah yang sebelum-sebelumnya hilang entah kemana.

Jam Casio CPW-310
Pada tahun 2005 saya mencari jam tangan di Plaza Bukit Bintang, KL dan terjumpa model jam islamik yang menarik ini. Harganya sekitar RM300. Jam ini mempunyai ciri-ciri berikut
1) Menentukan arah kiblat
2) Menentukan arah utara dsb seperti compass biasa
3) Mengira waktu solat dan "alert" sekiranya masuk waktu


Perhatikan anda bahagian menonjol di sebelah kiri jam dimana terletaknya sensor kompasn. Untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat, kedudukan longitud dan latitud perlu dimasukkan. Kedudukan geografi bagi bandar-bandar utama seperti Tokyo, KL, Jakarta telah sedia ada dalam memori jam. Tetapi untuk penentuan yang lebih tepat, kedudukan geografi lokasi semasa boleh dimasukkan jika latitud dan altitude diketahui. Kelemahannya jam ini ialah resolusi kompas agak rendah (+-11.25 darjah). Namun secara kasar dapat membantu saya kerana saya selalu juga outstation di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2008, jam saya ini tertinggal (lalu hilang) di tandas selepas mengambil wudhu' di Jepun. Peristiwa ini menjadi modal utama isteri saya untuk memperli saya sekiranya saya ingin membeli gadget elektronik sehingga ke hari ini :) kerana saya memang seorang yang pelupa dan sering "terhilang" barang. Tetapi pada penghujung 2009, saya telah beli yang baru dengan variasi latarbelakang hitam dari seorang teman di Singapura. Sekarang ia berada kemas di pergelangan tangan saya.

iPhone 3GS
Bulan Mac yang lalu bateri telefon bimbit saya telah mencapai hujung hayatnya setelah 2 tahun digunakan. Model bateri tersebut pun telah outdated dan tiada lagi dipasaran. Jadi saya telah membeli iPhone 3GS 16GB. Antara fungsinya ialah kompass. Saya telah memuatturun aplikasi percuma dari eQibla.

Aplikasi eQibla hanya perlukan liputan 3G. iPhone akan mengenalpasti lokasi semasa dan arah kiblat akan ditentukan secara automatik. Dengan aplikasi ini juga, waktu solat juga akan dikira secara automatik berdasarkan lokasi semasa. Hebat bukan? Jadi kemana sahaja anda pergi di dunia ini, eQibla akan membantu anda dengan syarat adanya liputan 3G.

Ketiga-tiga gadget di atas amatlah membantu sekiranya anda seorang yang selalu berkerja atau melancong di luar kawasan. Di Malaysia, arah kiblat dapat ditentukan secara kasar berpandukan arah matahari terbenam. Namun, bagi negara di luar kawasan Khatulistiwa seperti Jepun, Jerman, New Zealand dsb, prinsip arah matahari terbenam tidak boleh dijadikan panduan yg tepat kerana kedudukan matahari terbenam berubah sepanjang tahun bergantung kepada 4 musim. Waktu solat juga berubah secara ketara sebagai contoh di Sapporo, Jepun, solat subuh masuk pada pukul 1.40 pagi pada Musim Panas dan pada pukul 5:30 pagi pada Musim Sejuk. Bagi solat isyak pula pukul 9:30 malam pada Musim Panas dan 5:57 ptg pada Musim Sejuk.

Perkara yang penting dalam penentuan arah kiblat menggunakan sebarang jenis kompas termasuk gadget2 di atas ialah JAUHI DARI BAHAN LOGAM DAN PERALATAN ELEKTRONIK ketika penentukuran. Ini kerana kesan medan magnet dari logam dan arus elektrik pada alat elektronik akan memesongkan kompas anda.

Sekian Wallahua'alm

Selasa, 13 April 2010

Orang Jepun dan Amalan Sedekah

Saya telah memuatturun aplikasi Hadith of the Day ke iPhone saya.
Kelmarin, saya tertarik dengan hadis di bawah ini dan terlintas akan sikap orang Jepun yang hampir menepati amalan bersedekah yang dinyatakan. Umumnya, kita tidak semestinya memiliki harta untuk bersedekah. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk memperolehi pahala bersedekah.

Dalam kemodenan hidup di bandar, rakyat Jepun kurang memerlukan tugas pembersihan kawasan persekitaran oleh Majlis Perbandaran/Daerah (MP/D). Kebiasaannya, mereka akan menyapu, mengutip sampah2 di kawasan rumah mereka sendiri. Di kawasan taman-taman permainan pula, komuniti tetangga akan bersama-sama melakukan gotong-royong secara sukarela di hujung minggu. Malah, mereka juga menanam pokok-pokok bunga, serta mengindahkan kawasan rumah mereka. Mereka tidak memerlukan MP/D untuk mengindahkan dan menyiram pokok bunga.

Amatlah sukar untuk melihat sampah bersepah kerana setiap individu merasakan tanggungjawab sendiri untuk memastikan kebersihan kawasan sendiri. Sampah sendiri adalah tanggungjawab sendiri. Di kawasan perkelahan dan rekreasi dapat di lihat papan tanda seperti berikut, yang bermaksud agar sampah dibawa pulang. Amalan ini dilihat sebagai menjaga keselesaan umum dan juga dikira sebagai bersedekah.




Apabila kita bertanya mengenai arah, atau sebagainya, orang Jepun sangat-sangat membantu. Sebagai contoh sekiranya saya ingin mencari garam di pasaraya dan bertanya kepada staff berkenaan, mereka akan menunjukkan dimana garam tersebut sehingga betul-betul berada di depan rak garam tersebut dengan ramah dan penuh senyuman. Pengalaman isteri saya bersalin di hospital Jepun memberikan kami perspektif yang sangat posifit terhadap khidmat dan sikap orang Jepun yang sangat-sangat membantu walaupun masalah komunikasi sedikit memberi halangan. Cuba memahami kehendak orang lain juga merupakan suatu sedekah seperti yang diulas pada hadis di bawah. Senyuman yang sentiasa terpancar dikalangan staff meringankan beban yang dipikul. Senyuman juga merupakan satu sedekah.

Marilah sama-sama kita menghayati hadis berikut. Jepun: Negara Islam Tanpa Muslim. Wallahu'alam.

Abu Dhar al-Ghafari said: “The Messenger of Allah (sal Allahu alaihi wasallam) said: ‘Sadaqah is prescribed for every person every day the sun rises.’ I said: ‘O Messenger of Allah, from what do we give sadaqah if we do not possess property?’ He said: ‘The doors of sadaqah are takbir (Allahu Akbar), Subhan Allah, Alhamdulillah, La-ilaha-ilAllah, Astaghfirullah, enjoining good, forbidding evil, removing thorns, bones and stones from the paths of people, guiding the blind, listening to the deaf and dumb until you understand them, guiding a person to his object of need if you know where it is, hurrying with the strength of your legs to one in sorrow who is appealing for help, and supporting the weak with the strength of your arms. These are all the doors of sadaqah.” [Ahmad]

In other words one does not need to have financial resources to earn the reward of sadaqah. There are many deeds that qualify as sadaqah with Allah (subhana wa ta’ala). In addition to those listed above the following ordinary courtesies are also sadaqah if we do them with the intention of pleasing Allah with them.

1. To administer justice between two people is sadaqah.
2. To assist a man upon his mount so that he may ride it is sadaqah.
3. To place his luggage on the animal is sadaqah.
4. A good word is sadaqah.
5. Every step taken toward prayer is sadaqah.
6. Your smile for your brother is sadaqah.
7. Planting anything from which a person, an animal or anything eats is sadaqah.
The online version of Daily Hadith is available now, please visit http://dailyhadith.adaptivesolutionsinc.com

Kadri

Sabtu, 27 Mac 2010

Tandas Jepun

Tandas adalah satu elemen penting dalam kehidupan seharian. Paling tidak, sekali sehari kita semua akan menggunakannya.

Antara perkara yang saya sukai mengenai Jepun ialah tandas elektronik. Saya sangat kagum dengan ciptaan ini. Saya juga telah pasang satu tandas elektronik yang paling murah di pasaran Jepun di rumah dan saya sangat berpuas hati dengannya.

Tahukah anda bentuk dan penggunaan tandas Jepun berbeza sedikit dengan Malaysia. Saya dah lama hendak berkongsi maklumat mengenai tandas Jepun ini.

Di mana-mana, samada pasaraya, komplek membeli belah, pejabat, terdapat dua jenis tandas yang disediakan iaitu jenis Oriental (和式-washiki) dan jenis Barat (洋式-youshiki). Kemudahan ini disediakan samada salah satu, atau kedua-duanya sekali dalam bilik air.
Umumnya kedua-dua jenis ini adalah tandas kering, bermakna mereka menggunakan tisu tandas. Jadi jangan lupa bawa sebotol air kecil jika masuk ke tandas :) kerana tiada kepala paip di dalam tandas

Mari kita lihat satu persatu ciri-cirinya.

1) Oriental (和式-washiki)

Berikut merupakan jenis oriental yang biasa dilihat di rumah-rumah lama, atau kompleks lama. Perhatikan ada sedikit bahagian menonjol di atas lubang tandas. Tahukah anda bagaimana menggunakannya?


Saya pasti mengikut kebiasaan orang Malaysia, bahagian menonjol tersebut pastinya adalah bahagian belakang atau bahagian punggung. Namun begitu ianya salah.
Berikut adalah cara menggunakan tandas jenis Oriental.

Bagi kaum lelaki, jika anda terkencing semasa berhajat, maka bahagian tandas menonjol ini akan mengelakkan anda terpancut keluar dari landasan. Maka persekitaran tandas akan sentiasa kering.
Perhatikan juga paip air di tepi tandas. Ia berfungsi sebagai pemegang sekiranya anda perlukannya ketika meneran.

2) Barat (洋式-youshiki)
Berikut pula merupakan jenis Barat. Pastinya tidak asing bagi kita.
Namun ada sedikit kelainan dimana penutup tandas ada sedikit bahagian lopong berbentuk U.
Ini juga mengelakkan daripada air kencing mengotori bahagian tersebut.
Terdapat juga saluran paip kecil di atas pam tandas. Selepas tangki air kosong selepas dipam, air akan masuk semula melalui paip ini dan jatuh kedalam tangki air melalui lubang kecil di atas tangki. Jadi sebagai langkah penjimatan air, air yang keluar dari paip ini digunakan untuk mencuci tangan. Maka tiada kepala paip air tambahan disebelah tandas dan tandas akan sentiasa kering.

Dengan kemajuan teknologi Jepun, bangunan-bangunan baru mula menggunakan tandas elektronik. Berikut merupakan tandas elektronik yang mungkin anda akan temui jika berada di Jepun. Umumnya terdapat panel kawalan di sebelah kanan dengan pelbagai butang.

Panel kawalan adalah seperti berikut.
SHOWER untuk pancutan air ke punggung dan tekanan pancutan air boleh dikawal dengan melaraskan SPRAY STRENGTH. Untuk menghentikan pancutan, tekan butang STOP. Tandas ini juga mempunyai penderia (sensor) dimana sekiranya anda tidak duduk di atasnya, panel tidak akan berfungsi. Jadi jangan risau kerana pancuran air tidak akan berlaku ketika anda sibuk memakai semula seluar.
BIDET digunakan khas untuk kaum wanita.


Fungsi panel diatas adalah yang paling asas. Terdapat juga variasi fungsi tambahan seperti
1) tekanan pancuran air berirama.
2) kawalan suhu air pancuran
3) hembusan angin suam dari bawah untuk mengeringkan punggung selepas pancuran
4) penutup tandas autmatik, dimana sekiranya pengguna datang ia terbuka sendiri dan tertutup sendiri sekiranya pengguna meninggalkannya
4) semburan pewangi automatik selepas penggunaan
dan sebagainya. Sudah tentulah harganya lebih mahal untuk yang lebih canggih.

Saya sendiri memasang satu di rumah yang dengan fungsi paling asas dengan harga JPY20,000 iaitu lebih kurang RM700. Pastinya saya akan bawa pulang satu yang baru untuk dipasang di rumah Malaysia nanti.

Penggunaan tandas ini terpulang ke pada anda. Mungkin anda mahu mencangkung di atas tandas jenis Barat. Atau mencangkung berlawanan arah ketika menggunakan tandas jenis Oriental. Tiada siapa yang tahu bagaimana anda menggunakan tandas selepas pintu ditutup :)

Menariknya, terdapat siri animasi pendek yang popular di Jepun iaitu Shimajiro yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak mengenai penggunaan tandas dan menghargai fungsi tandas.
--> http://youtu.be/g6eu6nJKEbA


sambungan bahagian 2

Sabtu, 13 Mac 2010

Trip ke Bangkok

Saya baru sahaja pulang dari Bangkok. Saya berpeluang ke sana untuk menghadiri Bengkel Mikro/Nanoteknologi (Southeast Asia International Advances in Micro/Nanotechnology 2010) bertempat di Montien Hotel. Jadi, saya ingin berkongsi pengalaman dan tip sepanjang saya berada di Bangkok.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok
Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa jika berada di Thailand kurang dari 30 hari. Tetapi, sila pastikan informasi terkini di laman web Kementerian Luar Negeri Malaysia. Di lapangan terbang ini, terdapat sebuah surau di Tingkat 2 dan di depannya terdapat sebuah kiosk yang menjual makanan ringan yang halal ditanda dengan label حلال. Perkhidmatan internet tidak ditawarkan secara percuma. Internet tanpa wayar perlu dilanggan dengan membeli kad pra-bayar.
Sebuah kiosk kebab halal dan surau juga berada di balai pelepasan, selepas melalui pemeriksaan passport. Jadi tiada masalah untuk sembahyang dan makanan halal di lapangan terbang.

Makanan Halal
Untuk mencari makanan halal di Bangkok tidaklah begitu sukar. Banyak juga produk-produk yang dijual di pasaraya, 7-11, Family Mart yang disahkan halal oleh badan bertanggungjawab di Thailand. Hanya cari produk, seperti mee segera, roti atau biskut yang ditanda dengan cop halal seperti di bawah.




Di kompleks membeli belah seperti Platinum dan MKS juga terdapat restoran halal. Sebagai contoh di MKS, terdapat sebuah restoran masakan India, Indonesia dan Thai yang halal di ruang makan antarabangsa di Tingkat 5. Di Platinum pula, ada sebuah penyedia makanan Thai di medan seleranya.
Saya juga berkesempatan menikmati masakan tempatan di warung muslim, pasar minggu Chatuchak.
Kadangkala terdapat penjaja muslim yang menjaja makanan di atas troli bergerak di tepian jalan. Troli mereka ditanda dengan حلال atau dapat juga dikenali melalui cara berpakaian mereka, bertudung bagi perempuan dan berkopiah bagui lelaki.
Jika anda susah untuk menemui makanan Halal di tempat anda menginap, pergi sahaja ke stesyen BTS "Nana". Turun sahaja dari stesyen tersebut, anda akan terus nampak pelbagai restoran India/Pakistan muslim di kawasan tersebut.
Umumnya, bagi saya, isu makanan tidak menjadi masalah di Bangkok.

Surau
Kemudahan ruang sembahyang disediakan di beberapa kompleks membeli-belah. Setakat pengetahuan saya, Siam Paragon dan Platinum menyedia ruang sembahyang dan ditanda dalam direktori lantai mereka.

Bahasa
Seperti yang sedia maklum, bahasa utama di Thailand ialah Bahasa Thai. Tulisan pula menggunakan skrip Thai. Di kawasan tarikan utama pelancong, papan tanda di tulis dengan alternatif huruf roman. Ejaan huruf roman pula tidak menggambarkan sebutan yang betul dalam Bahasa Thai.
Tiada satu huruf roman pun yang tercetak di atas nota wang mereka. Saya pada awalnya bermasalah untuk membezakan duit syiling baht dan satang kerana semuanya ditulis dengan skrip Thai.
Peniaga di kawasan pelancongan mungkin boleh sedikit berbahasa Inggeris. Tetapi sekiranya berada di pasar terapung atau pasar tempatan, mereka langsung tidak boleh berbahasa Inggeris dan menu makanan atau apa jua ditulis dengan skrip Thai. Jadi, gunakanlah apa jua skill komunikasi yang anda rasa berfungsi :)

Pengangkutan
Kaedah pengangkutan yang paling mudah ialah mengunakan BTS (setara dengan monorel di Malaysia) atau MRT (tren bawah tanah seperti PUTRA LRT. Tuk-tuk atau kereta beroda tiga juga agak popular dan murah berbanding teksi. Yang menariknya, terdapat perkhidmatan motorsikal, sesuai untuk seorang pembonceng sahaja. Topi keledar tidak disediakan.

Bangkok, bandar yang dinamik dan unik. InsyaAllah jika berpeluang, saya akan ke sana sekali lagi bersama keluarga di masa hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...