Isnin, 3 Oktober 2011

Konvokesyen

Sekarang tengah musim konvo. IPT sana sini meraikan konvo.
Pagi tadi dengar Sinar FM, ada hamba Allah ini ada konvo di UUM esok.
Esok isteri dia kena bersalin (Caesar). Jadi beliau tidak dapat hadiri konvokesyen.
Tetapi, beliau sanggup tangguh tahun depan untuk hadiri konvokesyen.
Begitulah bestnya konvo sampai sapa2 yang habis study mesti ingin melaluinya, memakai jubah, bergambar2 sakan sebagai memori indah dalam kehidupan.

Tetapi bagi aku, bila tengok orang berkonvo, mesti aku rasa meluat, benci. Mungkin aku jeles?
Ini ceritanya yang mungkin menyebabkan aku jadi macam ini.

1) Aku berkonvo pada Ogos 2002 di UTM untuk sarjana muda. Oleh kerana kepandaian "seseorang", sesi aku dikelompokkan dengan sesi khas bersama Master dan PhD pada hari pertama. Ini kerana alhamdulliah aku dapat First Class Bachelor. Hanya aku dan seorang kawan shj yg Melayu dalam kursus Fizik pada sesi itu. Yang lain ramai cha ya nun alif. Kawan2 lain dianugerahkan pada sesi yang lain. Pada sesi khas itu, kursus lain Kimia dan Matematik ramai First Class dari kumpulan elit express MARA. Tujuannya dikelompokkan pada sesi khas itu ialah supaya bagi geng2 ini apparent dan menonjol dalam konvokesyen itu disebabkan program khas yang dianggap berjaya menghasilkan pelajar fast track yg excellent. Akibatnya aku terpisah dengan rakan2 dalam meraikan kegembiraan konvokesyen ini. Aku mmg betul2 frust.

2) Aku buat master di Univ Leipzig, Jerman. Di sana lepas aku tamat belajar, aku amik je sijil kat pejabat akademik. Memang tiada acara konvokesyen.

3) Aku terima PhD dari Hokkaido University. Di Jepun konvokesyen nya sangat ringkas (~ 2 jam). Tiada pemakaian jubah, hanya suit formal dan menghadiri majlis ucapan. Yang naik pentas pun wakil pelajar. Sijil di agih2 lepas majlis. Tapi sebab aku x hadiri majlisnya, penyelia aku pos dari sana.

4) Sebagai pensyarah, kadang2 kena giliran masuk dewan konvokesyen. Memanglah terseksa dan memboringkan.

5) Bila tengok student sendiri ada yg liat dan buat hal masa belajar, tapi masa konvo dialah yg paling over. Makeup x hengat.

Begitulah al kisahnya...

Jumaat, 16 September 2011

konflik di tempat kerja

Ada satu masaelah. Terdapat 4 orang rakan sejawatan di Jabatan XYZ, pensyarah universiti. Mereka semua sebaya, mempunyai kelulusan sarjana. Katakan gaji mereka RM4,000 sebulan.

1- Dara seorang gadis yang masih bujang tetapi sudah bertunang.
2- Bujang pula seorang pemuda yang juga masih bujang trang tang tang.
3- Minah sudah berkahwin dan sedang mengandung 4 bulan anak pertama. Suaminya seorang jurutera.
4- Karim sudah berkahwin anak tiga, isterinya tidak bekerja.

Atas arahan pihak Universiti, terdapat kuliah yang mesti dilakukan pada hari Sabtu selama satu semester iaitu selama 4 bulan. Pensyarah yang mengajar tidak akan mendapat insentif tambahan mahupun cuti gantian. Sebagai seorang Ketua Jabatan XYZ, anda perlu memilih seorang dari 4 rakan di atas untuk mengajar kuliah tersebut. Siapakah yang anda pilih dan kenapa?

Sabtu, 27 Ogos 2011

IN Hiroshi 2 Bulan

Hari ini genap Iman Nurhadi Hiroshi berusia 2 bulan, manakala kakaknya Iman Nurbalqis Yumiko berusia 2 tahun 8 bulan.
Berbanding kakaknya, Hiro tidak meragam. Hiro boleh tidur sendiri.
Bila Hiro menangis, tidak sekuat Iman.
Begitulah, masing-masing ada identiti sendiri.
Perkembangan Hiro
- pandai senyum, ketawa dan menyapa kembali bila diagah.
- tidur dalam buaian 
- angkat kepala
- tidur malam pun tidak begitu meragam
Iman?
- memilih baju sendiri untuk dipakai
- boleh diharap untuk buang napkin Hiro
- boleh diharap cari cermin mata dan telefon Abi kalau hilang
- menyanyi, membaca, menulis dan menari ikut gaya sendiri
- selalu tanya 'ini apa?' sampai Umminya malas nak layan (Abi pun sama :)

Video 4 hari yang lalu, Iman memang suka mengadap adiknya. Jangan gaduh-gaduh ya!

Minggu depan dah Hari Raya. Hari Raya kali pertama buat Iman di Malaysia. Tahun 2009 dan 2010 di Jepun. InsyaAllah Hari Raya Pertama dan Kedua di KL dan Ketiga hingga seterusnya di Pontian.
Selamat Hari Raya Semua. Maaf Zahir Batin.

Isnin, 4 Julai 2011

Sindrom 'boncengan gratis' dalam dunia akademik

Dipetik dari laman online Utusan Malaysia / Ruangan Rencana Isnin 4 Julai 2011


Oleh PROF. DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH


PADA 6 hingga 8 Julai ini, Majlis Profesor Negara buat pertama kalinya akan mengadakan Kongres bagi membincangkan kaedah mentransformasikan negara. Jika kesemua profesor di Malaysia hadir, jumlahnya adalah sekitar 1,600 orang.

Sebagai intelegensia akademia yang pastinya mempunyai pemikiran yang besar-besar dalam bidang masing-masing, profesor-profesor tersebut dijangka akan membincangkan isu-isu menarik dengan analisis mendalam.

Kalaulah di celah-celah pemikiran besar dan analisis yang mendalam itu dapat diselitkan perbincangan tentang masalah dalaman dunia akademik mereka sendiri dan kemudiannya sampai kepada cara penyelesaiannya, tentulah ia lebih bermakna lagi.

Salah satu masalah yang jelas semakin berleluasa dalam dunia akademik di Malaysia sekarang tetapi tidak begitu menarik perhatian sebahagian besar orang akademik ialah masalah yang saya panggil boncengan gratis (free-riderism).


Boncengan di sini bermaksud menumpang, manakala gratis bermaksud percuma. Boncengan gratis oleh itu bermaksud menumpang dengan percuma. Secara lebih khusus, ia bermaksud menumpangkan nama dalam sesuatu hasil kerja akademik, terutamanya dalam penyelidikan dan penerbitan tanpa 'membayarnya' dengan apa-apa sumbangan yang sewajarnya.

Misalnya seseorang akademik meletakkan namanya dalam satu hasil dokumentasi penyelidikan, atau dalam satu penulisan, atau dalam satu penerbitan, walau pun sebenarnya beliau tidak menyumbang apa-apa.

Kalau pun mereka dikatakan menyumbang, sumbangannya itu hanyalah dalam bentuk routine performance, umpamanya dengan hanya sedikit sebanyak mengumpul data, atau hanya dengan memberi idea, atau hanya dengan menyunting, atau hanya dengan menguruskan pentadbiran, atau hanya dengan menguruskan hal-ehwal yang tidak melibatkan penulisan.

Ringkasnya, mereka hanya menyumbang secara pasif dalam bentuk yang sememangnya telah menjadi tugas asas mereka, tetapi mereka tidak menyumbang dalam bentuk penulisan dokumentasi atau penerbitan tersebut.
Sumbangan sedemikian tidak cukup untuk melayakkan seseorang akademik meletakkan namanya dalam sesebuah hasil dokumentasi atau penerbitan akademik.

Konvension kepengarangan menetapkan sekurang-kurangnya tujuh syarat bagi melayakkan seseorang itu meletakkan namanya dalam hasil dokumentasi atau penerbitan akademik tersebut.

Pertama, kesemua mereka perlu terlibat secara aktif dalam menjana keaslian idea penulisan tersebut.

Kedua, mereka perlu terlibat secara aktif dalam membina reka bentuk dan penulisannya.

Ketiga, mereka perlu bertanggungjawab dalam pengamatan dan pengumpulan data.

Keempat, mereka perlu memainkan peranan kepimpinan mengikut kapasiti masing-masing dalam pelaksanaan kajian yang dijadikan asas penulisan tersebut.

Kelima, mereka perlu terlibat sepenuhnya dalam proses menulis dengan bukan sahaja menulis draf manuskrip tetapi juga mengulang kaji dan menyemak manuskrip tersebut.

Keenam, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas manuskrip akhir.

Dan ketujuh, mereka perlu mampu mempertahankan penerbitan tersebut mengikut disiplin profesional masing-masing.

Ketujuh-tujuh syarat ini walau bagaimanapun tidak semua dipenuhi oleh kesemua ahli akademik masa kini.

Cuba lihat contoh-contoh yang benar-benar terjadi.

Pertama, seorang pelajar PhD mengadu kepada saya bahawa penyelia bersamanya tiba-tiba meminta beliau memasukkan nama penyelia bersama tersebut dalam kertas kerja yang akan dibentangkannya di satu persidangan di Langkawi. Pelajar tersebut terkejut besar kerana penyelia bersama itu sedikit pun tidak mengetahui sebelumnya tentang kertas kerja tersebut, apatah lagi menyumbang apa-apa, sedangkan penyelia utamanya walau pun banyak memberi idea dan membimbingnya, tidak pernah pula meminta beliau melakukan demikian. Apabila hal ini disuarakan, penyelia bersama itu memberi jawapan yang sangat mudah. Katanya, penyelia utamanya sudah menjadi profesor, sedangkan beliau sedang berusaha mengumpul poin untuk memohon jawatan profesor.

Kedua, seorang yang berhasrat menjadi profesor menceritakan kepada saya bahawa beliau sedang merancang untuk memohon jawatan profesor apabila pelajar-pelajar siswazahnya menghasilkan beberapa penulisan lagi. Dengan gembira beliau menyatakan bahawa terdapat pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik dalam penulisan. Dalam jangka masa terdekat, beliau yakin beliau sudah cukup bahan tulisannya untuk memohon jawatan profesor tersebut. Saya kehairanan kenapa pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik, tetapi tanpa segan silu beliau pula yang merasakan layak memohon jawatan profesor.
Jawapannya senang. Dalam penulisan pelajar-pelajarnya itu, beliau akan menaruhkan namanya sekali dan mendapat kredit sewajarnya.

Ketiga, seorang teman mengadu kepada saya bahawa kawannya yang sama-sama membuat penyelidikan dan kemudian sama-sama menulis sebuah artikel akademik, tiba-tiba meletakkan nama suaminya sebagai salah seorang daripada penulis artikel tersebut. Bila ditanya kenapa, kawan itu berterus terang mengatakan untuk menolong suaminya agar sama-sama mengumpul kelayakan untuk kenaikan pangkat. Teman saya itu akhirnya memberi dua pilihan, sama ada tidak memasukkan nama suaminya, atau memasukkan nama suaminya tetapi membuang namanya. Saya kurang pasti pilihan mana yang dipilih. Yang jelas kemudiannya, hubungan peribadi antara mereka sudah terjejas.

Keempat, seorang pensyarah muda yang baru menyelesaikan PhD bertanya kepada saya dalam satu bengkel penulisan, apakah betul bahawa hak cipta tesisnya adalah hak cipta penyelianya. Pensyarah muda tersebut menceritakan bahawa penyelianyalah yang mengatakan demikian. Penyelia tersebut memberi peringatan agar mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu apabila mahu menulis berkaitan tesis tersebut . Kemudian, dalam apa jua penulisan yang dihasilkan pensyarah muda ini, nama penyelia tersebut mestilah dicatatkan.

Kelima, para pensyarah sebuah universiti yang agak baru, dalam satu wacana penulisan menyifatkan saya sebagai mempunyai pendirian yang berbeza kerana tidak bersetuju dengan boncengan gratis, sedangkan ramai ahli akademik yang datang ke universiti tersebut menasihatkan mereka menggunakan bahan dan penulisan pelajar sebaik mungkin untuk meletakkan nama mereka bersama.
Mereka cukup gusar dengan pendirian saya, sehingga memohon pendapat sama ada berdosa atau tidak jika melakukan sebagaimana saranan ahli-ahli akademik lain itu.
Salah seorang daripada mereka cukup sayang dan terhutang budi kepada bekas penyelia PhDnya, hingga beliau merasakan dalam apa jua tulisannya, beliau harus meletakkan nama penyelianya bersama, walau pun tidak semestinya diketahui oleh penyelia tersebut.

Keenam, pernah dalam satu persidangan antarabangsa yang kami anjurkan tahun lepas, seorang pensyarah agak gelabah kerana teman-temannya tidak datang sedangkan nama mereka tercatat sebagai ahli kumpulan yang menulis kertas kerja bersamanya.
Kumpulan dengan ahli-ahlinya yang sama ini telah cuba membentangkan tiga kertas kerja, dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja.
Pensyarah tersebut gelabah kerana beliau hanya mengetahui tentang kertas kerja yang beliau menjadi penulis pertama sahaja, sedangkan kertas kerja kedua dan ketiga tidak begitu diketahuinya walau pun namanya diletakkan sebagai penulis dalam kedua-dua kertas kerja tersebut.

Puncanya kerana yang benar-benar menulis kertas kerja tersebut ialah penulis pertamanya sahaja, sedangkan ahli-ahli yang lain hanyalah menumpangkan namanya, hanya kerana mereka adalah ahli-ahli kumpulan penyelidikan yang sama.
Contoh-contoh boncengan gratis ini merupakan refleksi akan betapa sudah mula tidak beretikanya sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Masalah etika sedemikian juga berlaku dalam persidangan-persidangan.

Misalnya, dalam satu persidangan di Australia beberapa tahun yang lepas, ada seorang pensyarah Malaysia yang membentangkan kertas kerja pada hari pertama, manakala penulis bersamanya belum tiba lagi dari Malaysia. Namun begitu, walaupun penulis bersama ini tiba keesokannya, beliau tidak hadir ke persidangan tersebut. Sepanjang persidangan itu berlangsung hingga ke hari akhirnya, beliau sememangnya tidak hadir langsung. Saya mendapat tahu dari teman-temannya bahawa ketika Persidangan berehat selama satu hari, beliau bersama teman-temannya berjalan-jalan melihat Australia.
Beginilah antara senario integriti sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Sebahagiannya tidak mustahil telah pun menjadi profesor. Bolehkah mereka mentransformasikan negara?
Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Ikan Berpantang

Menjadi Tukang Masak bagi Ummi yang berpantang memang tiada masalah.
Tetapi memilih apa yang hendak dimasak memang memeningkan.
Ummi kata dia tak boleh makan ayam, jadinya kenalah masak ikan dan daging.
Ikan pula ada jenis-jenis yang gatal dan tidak sesuai untuk dimakan semasa berpantang.
Jadinya, jom senaraikan ikan-ikan yang boleh dimakan, tak boleh dimakan dan tak dikenalpasti samada boleh atau tidak dimakan.
Harap pembaca boleh bantu saya senaraikan untuk panduan bersama.

BOLEH MAKAN
Haruan
Bawal Putih
Tenggiri
Merah
Rohu
Parang
Bilis
Kerapu

TAK BOLEH MAKAN
Keli
Kembung
Cencaru
Tongkol
Bawal Hitam
Terubuk

BELUM DIKENALPASTI
Sembilang
Belut
Talapia
Salmon

*and the list continues..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...