Sabtu, 21 Julai 2012

Persidangan / Seminar / Kursus di Jepun

Akhir-akhir ini saya kerap ditanya berkenaan prosedur ke Jepun untuk tujuan persidangan, seminar, kursus dan apa jua yang berkaitan latihan.

Untuk apa jua aktiviti termasuklah melancong atau melawat anak bagi rakyat Malaysia ke Jepun memerlukan visa.

Visa ini pula ada pelbagai jenis bergantung kepada tujuan anda.

Untuk tujuan perniagaan/ seminar/ persidangan dan setara boleh rujuk pautan berikut --> http://www.my.emb-japan.go.jp/English/visit.html#A

Syarat berubah dari masa ke sama, dulu lain sekarang lain, jadi usahlah samakan prosedur dulu dan sekarang.

Saya ada maklumat tambahan yang mungkin relevan tentang permohonan visa bagi tujuan di atas pada masa entri ditulis:
1)  Permohonan tidak memerlukan confirmed flight ticket. Cukup hanya menulis borang itinerary yang lengkap, dari mula anda mendarat hingga berlepas pulang. Jadi bolehlah mohon visa dahulu baru beli tiket.
2) Permohonan mengikut kawasan. Jika alamat kediaman anda di zon utara, permohonan ialah di konsulat Jepun Pulau Pinang. Permohonan anda mungkin ditolak sekiranya anda memohono di pejabat konsulat yang bukan dari zon anda.

Please check your nearest office. Application has to be submitted to the office which covers your current residential area
(Not a passport issued area)

Embassy of Japan in Malaysia (Kuala Lumpur)
Cover Area: Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Malacca, Pahang
Consulate-General of Japan (Penang)
Cover Area: Penang, Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, Trengganu
Consular Office of Japan (Kota Kinabalu)
Cover Area: Sabah, Sarawak, Labuan
Consular Office of Japan (Johor Bahru)
Cover Area: Johor
 3) Wakil boleh memohon bagi pihak anda. Contohnya kawan, saudara mara atau ejen dengan syarat semua dokumen telah tersedia.
4) Visa siap dalam masa 3 hari, contoh hantar Isnin siap Rabu.
5) Bagi yang bekerja, sertakan surat pengesahan bekerja dari majikan.
6) Bagi menyokong financial statement, anda boleh buat gabungan salinan penyata ASB, TH atau sebarang saham, lalu disahkan oleh institusi yang mengeluarkan penyata tersebut. Sekurang-kurangnya jumlah RM10,000 mesti dibuktikan adalah dalam pegangan simpanan anda.
7) Dapatkan dan lampirkan surat pelawaan rasmi dari pihak atau penganjur di Jepun.
8) Ambil perhatian bahawa latihan atau kursus melebihi 90 hari memerlukan permohonan Certificate of Eligibility (COE) yang diuruskan oleh pihak penganjur. Namun terdapat juga jenis latihan/kursus yang memerlukan anda memohon COE menggantikan visa.
9) Apa jua kes anda, jika ada persoalan silalah berhubung kepada pejabat konsulat/kedutaan zon anda. insyaAllah mereka sedia membantu.

おたのしみ! 
Pautan berkaitan --> http://kadoridesuyo.blogspot.com/2011/01/prosedur-ke-jepun.html

Sabtu, 7 Julai 2012

Bapa Ayam

 
Tahukah anda apa maksud bapa ayam?



Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4, bapa ayam membawa maksud

a) ayam jantan;

b) bapa yg tidak mempedulikan anaknya;

c) lelaki yg memperdagangkan pelacur.


Huraian

(a) sememangnya makna langsung. Tiada ibu dan bapa ayam, tiadalah anak ayam.


(b) merupakan makna simpulan bahasa. Pada masa dahulu, seorang lelaki sering merantau dari satu tempat ke tempat yang lain. Di mana sahaja tempat dia menetap, dia akan berkeluarga. Kemudian, merantau lagi dan membina keluarga baru tanpa mengendahkan keluarga yang lalu. Macam ala-ala cerita drama Cinta Madinah (jika sesiapa menontonnya). Lelaki sebeginilah sifatnya ibarat bapa ayam. Namun, untuk meluaskan pengertiannya, seorang bapa yang tidak mengendahkan hal ehwal anaknya juga bolehlah digelar bapa ayam. Kalau kita perhatikan, ayam jantan memang tidak kisahkan anak-anaknya. Ibu ayamlah yang memimpin rombongan anak-anak ayam kecil ke hulu ke hilir.


(c) merupakan makna simpulan bahasa yang sudah diterima pakai sebagai pasangan kepada ibu ayam. Sepatutnya tidak timbul masalah kata ibu untuk perempuan dan kata bapa untuk lelaki. Ibu ayam boleh merujuk kepada perempuan mahupun lelaki yang memperdagangkan pelacur. Penggunaan ibu di sini membawa kepada maksud bahagian utama. Contoh perkataan yang menggunakan kata ibu ialah:


1. ibu negara

2. ibu pejabat

3. ibu jari

4. bahasa ibunda (asal kata ibu)


Jadi, kata ibu boleh membawa maksud

1. orang yang melahirkan kita

2. bahagian terbesar atau terpenting atau utama
3. panggilan hormat kepada perempuan

Sekian, semoga bermanfaat.

Khamis, 7 Jun 2012

Salah tanggap kerjaya Pensyarah Universiti (PU)


Salah tanggap yang biasa terhadap Pensyarah Universiti (khususnya IPTA)

1) Bila pelajar cuti semester, PU pun cuti sama.
PU diperuntukkan cuti rehat 30 hari dalam setahun (bergantung kepada Gred Jawatan).
Jika pelajar bercuti, PU tidak cuti secara automatik.
PU mesti memohon cuti dan ditolak dari cuti rehat yang diperuntukkan.
Kalau permohonan tidak diluluskan, maka kenalah kerja seperti biasa.

2) PU kerja 8 pagi hingga 5 petang sahaja.
Sebenarnya PU tiada waktu kerja yang tetap.
PU bertugas 24 jam sehari, 7 hari seminggu atas arahan.
Tiada elaun kerja lebih masa untuk PU.
Melainkan atas pertimbangan Ketua Jabatan, barulah PU mendapat cuti gantian atau elaun khas jika bertugas di luar waktu normal pejabat.

3) Tugas PU hanya mengajar sahaja.
PU tidak hanya mengajar.
Terdapat tugas 6P yang wajib dilakukan iaitu
1- Pengajaran
2- Penyelidikan
3- Perundingan
4- Perkhidmatan kepada Masyarakat
5- Pentadbiran
6- Penulisan & Penerbitan
Semasa pelajar bercuti semester, PU mengambil kesempatan yang terhad untuk menjalankan penyelidikan atau penerbitan.
Kebiasaannya tugas pentadbiran mengambil masa PU yang sangat banyak namun paling kurang diambil kira dalam markah prestasi tahunan.
Manakala komponen penyelidikan dan penerbitan paling diutamakan dalam penilaian prestasi dengan waktu yang sangat terhad untuk diperuntukkan kerana memerlukan ketelitian dan waktu bertenang untuk melakukannya.
Terdapat khidmat PU yang sangat diperlukan seperti sebagai penasihat sektor industri dan kerajaan.
Sebagai contoh PU bidang nuklear dilantik sebagai penasihat projek Lynas di Kuantan.


4) PU suka membuat tuntutan perjalanan.
PU bukan sahaja duduk di kerusi pejabat.
Banyak tugas yang memerlukan PU bergerak di luar Universiti.
Oleh itu, PU membuat tuntutan perjalanan yang sewajarnya untuk menampung kos pengangkutan dan penginapan yang selayaknya.


5) Untuk menjadi PU, seseorang itu mesti mempunyai Sarjana Pendidikan atau PhD Pendidikan
Anggapan ini hanya benar jika anda ingin menjadi Pensyarah Bidang Pendidikan.
Untuk Pensyarah Kejuruteraan Kimia contohnya, mestilah memiliki Sarjana Muda, Sarjana dan Phd (atau pengalaman bekerja setara) dalam bidang Kejuruteraan Kimia juga.
Sepanjang bekerja, PU akan dilatih dari semasa ke semasa kaedah pengajaran dan pendidikan terkini untuk diamalkan di IPTA melalui kursus dan bengkel khusus.

6) Gaji PU besar.
Besar atau kecilnya gaji adalah relatif bagi setiap individu.
Sebagai ketelusan fakta, saya nyatakan gaji permulaan asas bagi PU
(Boleh rujuk pekeliling JPA ini untuk pengesahan fakta)
Gred 45      RM2,877.04  Pensyarah Universiti - biasanya berkelayakan Sarjana
Gred 51/52 RM5,168.02  Pensyarah Kanan - biasanya berkelayakan PhD
Gred 53/54 RM5,471.49  Profesor Madya
Disebalik 'besar'nya gaji PU, terdapat 'hutang dan kontrak' pendidikan yang ditanggung, ada yang mencecah setengah juta ringgit.
Kenaikan gred PU juga tidak berdasarkan masa (time-based), tetapi kepada prestasi yang dipamerkan (performance-based)
Bermohonlah pada ALLAH agar dilapangkan rezeki dan dicukupkan apa yang kurang dalam kehidupan.

*p/s: rakan-rakan yang ada pembetulan dan penambahan harap boleh komen.

Rabu, 16 Mei 2012

16 Mei

16 Mei ialah tarikh sambutan Hari Guru di Malaysia.
Ummi juga dilahirkan pada 16 Mei. Selamat Hari Lahir Ummi, muah! muah!

Seingat saya, guru yang memberi impak ke atas saya ialah Cikgu Fauziah Hanim.
Beliau mengajar saya Matematik Tingkatan 3 dan Biologi Tingkatan 4 & 5.
Kerana beliaulah saya memilih untuk mengambil subjek Biologi di peringkat Menengah Atas walhal sejak di Tingkatan 1 lagi bertekad untuk mengambil Prinsip Akaun.
Dan yang paling menarik, saya berjaya menjadi pelajar pertama di sekolah yang mendapat A1 untuk subjek Biologi, hadiah teristimewa untuk beliau ^_^/
Bagi saya beliau sungguh berdedikasi dan garang, sehingga beliau menjadi Warden di Asrama Lelaki!
Tetapi kegarangan beliaulah yang mencuit hati saya.
Entah kenapa jika beliau marah, saya akan berasa lucu.
Beliau sangat unik.

Apapun, sememangnya seorang guru dapat mengubah haluan seorang pelajar.
Samada menjadi lebih baik, atau lebih buruk, atau tiada perubahan langsung.

Berkhidmat di salah satu institusi pendidikan negara memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai kelakuan guru, bakal guru dan bekas guru.
Ada yang sangat komited, ibarat lilin membakar diri.
Ada yang sekadar inginkan kelulusan, ibarat lilin membakar orang lain.
Apapun,
SELAMAT HARI GURU
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


Ahad, 15 April 2012

Setahun berlalu

Hari ini 15 April 2012, genap setahun kami sekeluarga meninggalkan Jepun.
Terasa masa berlalu sungguh pantas.
Mungkin rutin harian terlalu sibuk sehingga masa yang berlalu tidak disedari.

Iman NY sudah 3 thn 4 bulan.
Tetapi belum pandai buang air besar sendiri.
Buang air kecil sudah OK.
Tahun ini dia masuk taska 4 tahun di Permata Negara UPSI.
Banyak juga yang dipelajari.
Hari-hari menyanyi, menyanyi dan menyanyi.
Si adik Hiro pula goyang-goyang badan dengar si kakak menyanyi.

Hiro pula sudah 9 bulan.
Perjalanan membawa dia ke dunia memang penuh cabaran.
Ummi mengandung tatkala Abi sedang sibuk menyiapkan tesis dan viva PhD.
Sedang mengandung Ummi pula mengidap batuk kokol, batuk berterusan selama 3 bulan.
Sebulan sebelum tamat pengajian, Jepun dilanda tsunami.
Sapporo juga menerima tempias yang hebat.
Kami semua berada dalam kepanikan dan kerisauan yang amat sangat ketika itu.
Kami pulang menaiki pesawat ketika kandungan berusia 8 bulan.

Di Malaysia cuaca panas terik berbanding Sapporo yang belum pun cair saljinya.
Masing-masing dalam keadaan baran ditambah pula kejutan budaya di tanahair sendiri.
Hiro dilahirkan dengan patah di bahu menambahkan kerisauan dihati.
Sekarang patahnya sudah sembuh dan Hiro sudah boleh berjalan di usia 9 bulan, sebulan lebih awal dari kakaknya.
Ini menangkis andaian ramai bahawa bayi yang duduk dalam 'walker' akan berjalan lambat.

Tuntutan kerja semakin bertambah.
Terasa diri seakan tua, tugasan yang dilakukan terasa lambat disiapkan.
Pembahagian masa harian mesti bijak.
Terima kasih Ummi yang banyak membantu urusan keluarga. 愛してる。

Semoga kami sekeluarga dapat menempuhi tahun-tahun mendatang dengan tabah dan ceria.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...